PENGERTIAN KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN.
PENTAKSIRAN
Definisi
Pentaksiran
merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya membuat
penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Dari
konteks pendidikan pentaksiran merupakan satu episod dalam proses
pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod,
memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang
pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses
untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam
sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran
dijalankan secara berterusan.
Tujuan Pentaksiran
· Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
· Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
· Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
· Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
· Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
· Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
· Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran
PENGUJIAN
Definisi
Proses/prosedur
yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat
secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian
pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.
Pengujian
dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang
perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang
sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang
individu atau pelajar.
Menurut Cronbach (1970)
“Ujian
ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau
tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala
bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi
ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan.
Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar
seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik
dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian
adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang
diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat
penilaian atau pengadilan”.
(Raminah 1991:2).
Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.
Proses
pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti
pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip
jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada
pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang
ingin disampaikan guru.
Kesimpulannya,
pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui
pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru
dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian
amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap
kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
PENILAIAN
Definisi
Penilaian
merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk
menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran.
Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga
dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi
membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan
untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau
sikap.
Perkaitan pengujian, pengukuran dan penilaian
Diagnosis
Penilaian
yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan
maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap
pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini
juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar
dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan
seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, memuaskan,
sederhana,lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada
penilaian yang dijalankan juga, guru dapat mengenal pasti pelajar yang
cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pelajar yang lemah
yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat keputusan
sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih bersesuaian
dengan keperluan pelajar atau mengulang pelajaran dengan menggunakan
strategi yang sama dan sebagainya.
Penilaian
yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan
memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan
kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada
guru tentang masalah yang dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai
masalah dalam mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang
telah diajar? Sekiranya pelajar menghadapi masalah, guru akan menyelidik
punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan guru untuk
mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus
supaya masalah yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas
ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi masalah dan akibatnya mereka
akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.
Pencapaian
Penilaian
yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat
memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap
pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain
itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya
pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM);
adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara
keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan
tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar.
Hasil
penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut
gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak
sekolah akan dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar
berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki
untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.
Pemilihan dan Penempatan
Penilaian
adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru
perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan
dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang
guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa
Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang
telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan
sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam
menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.
Selain
itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu
kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka
berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan
masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran
mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini,
tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut
penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Selain
memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih
dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan
pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan
ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang
murid berkenaan.
Bimbingan dan kaunseling
Penilaian
juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada
pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi
untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi
daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar
disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh
pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik
ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu
motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya
atau nasihat daripada guru/guru besar.
Tujuan lain Penilaian Ujian
1. Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar.
2. Membantu
guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan
rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain.
3. Membuat perbandingkan pencapaian pelajar dalam subejk tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain.
4. Menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya
5. Membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan.
6. Membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran.
7. Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka.
8. Melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.
9. Pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan